Permohonan kursus untuk Kursus-kursus anjuran Jabatan Perikanan terbuka kepada pemohon berumur di antara 18-60 tahun. Pemohon hendaklah mempunyai kesihatan yang baik, boleh membaca dan menulis serta seorang warganegara Malaysia.
Poster dan bahan penerbitan Jabatan Perikanan Malaysia boleh didapati dan diperolehi dari Bilik Sumber Jabatan Perikanan Malaysia, Aras 2 Podium 1, Blok 4G2, Wisma Tani, Presint 4, 62628 Putrajaya atau menghubungi Cawangan Promosi dan Informasi, Bahagian Pengembangan Perikanan di talian 03-8870 4587 (Pn. Noor Ikhwanie binti Zainal) atau 03-8870 4584 (En. Mohd Asmadi bin Ikhwan)
Sebut harga Jabatan Perikanan Malaysia boleh diketahui melalui Papan Kenyataan Ibu Pejabat, Pejabat Perikanan Negeri, Institut, Pusat dan daerah ataupun di laman web Jabatan ataupun melalui laman web e-perolehan.
Tender Jabatan Perikanan Malaysia boleh diketahui melalui iklan di surat khabar, papan kenyataan Ibu Pejabat ataupun di laman web Jabatan dan laman web e-perolehan.
Jabatan Perikanan hanya memberikan kebenaran kelulusan import/export dan pergerakan ikan hidup sahaja. Sehubungan dengan itu pengimportan sampel biologi kehidupan laut yang diawetkan dengan formalin bukan bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan.
Mengikut Akta dan Peraturan Jabatan Perikanan Malaysia, setiap vesel/bot yang digunakan untuk aktiviti menangkap ikan perlu dilesenkan. Bagi kes tuan, walaupun untuk kegunaan sendiri ianya perlu dilesenkan. Namun mungkin tuan bukan nelayan tulen atau sepenuh masa, tiada kad pendaftaran nelayan dan lesen untuk sampan atau enjin sangkut tidak dikeluarkan lagi.
Oleh itu adalah dinasihatkan tuan mendapatkan lesen daripada Jabatan Laut sebagai tujuan rekreasi. Tuan juga boleh hadir ke Pejabat Perikanan Daerah/Jabatan Laut berhampiran untuk mendapatkan nasihat berkaitan.
Jabatan Perikanan tidak menyediakan subsidi tetapi ada menyediakan bantuan berbentuk input. Di samping itu juga, jabatan ada menyediakan insentif galakan pengeluaran Akuakultur. Pengusaha kecil dan juga komersil layak menerima insentif tersebut yang dibayar berasaskan pengeluaran. Pengusaha kecil ikan air tawar termasuk keli dan sebagainya di bayar sebanyak RM 570 bagi setiap tan ikan yang dihasilkan. Pembayaran akan dibuat tertakluk kepada peruntukan yang ada.
Bagaimanapun, untuk maklumat lebih lanjut anda boleh hubungi pejabat perikanan daerah atau negeri yang berkenaan.
Harga ikan dimana-mana ditentukan oleh penawaran dan permintaan. Bagaimanapun, pada musim perayaan pihak KPDNHEP akan menetapkan siling harga ikan-ikan tertentu bagi menjaga kepentingan pengguna. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dipertanggungjawab untuk mengendalikan pasaran pemasaran ikan di Malaysia tetapi bukan menetapkan harga. Harga ditentukan oleh pasaran.
Industri Perikanan Negara terbahagi kepada dua (2) sub sektor iaitu perikanan tangkapan dan akuakultur:
Sub-sektor perikanan tangkapan diurus bagi memastikan sumber perikanan negara dieksploitasi secara mampan dan menguntungkan. Faktor sumber perikanan yang terhad tidak membolehkan pertambahan bilangan vesel dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Berdasarkan status sumber sedia ada, hanya perikanan laut dalam yang masih berpotensi untuk dimajukan. Faktor-faktor lain yang mempengaruhi industri perikanan tangkapan adalah kekurangan minat warga tempatan untuk bekerja di vesel menangkap ikan laut dalam, kehilangan semasa/selepas tuai (post harvest losses), pencerobohan nelayan asing, penggunaan peralatan yang tidak mesra sumber dan aktiviti hiliran (pemprosesan) yang masih belum berkembang sepenuhnya di negara kita.
Sub-sektor akuakultur sangat berpotensi untuk dimajukan di negara ini. Antara faktor yang mempengaruhi kemajuan industri akuakultur adalah modal permulaan yang besar, kesukaran memperoleh kawasan yang sesuai dan ancaman penyakit. Negara tidak ketinggalan dari segi teknologi dan Jabatan sentiasa bersedia untuk membantu dari segi teknikal. Isu kekurangan benih lebih kerana kekurangan pengusaha kerana kaedah/teknik menghasilkan benih telah sedia ada di negara kita.
Kedua-dua sub sektor perikanan iaitu perikanan tangkapan dan akuakultur juga menghadapi masalah dari segi kekurangan pekerja tempatan, keperluan untuk mematuhi piawaian antarabangsa dan persaingan dan keperluan untuk menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dimakan dan lebih murah berbanding import.
Menurut Akta Cites 2008 (Akta 626), Seksyen 10 dan 12, adalah menjadi suatu kesalahan jika memiliki spesies ikan terjadual (Lampiran 2) dalam Jadual 3 – Spesis Terjadual tanpa permit. Walau bagaimanapun, bagi ikan-ikan yang telah dipelihara atau diperolehi sebelum ini, Jabatan Perikanan akan melaksanakan proses pendaftaran bagi maksud kebenaran memiliki ikan tersebut sedikit masa lagi.
Sila rujuk Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri yang berhampiran untuk penerangan lanjut.
Jabatan Perikanan ada menerbitkan Buku Perangkaan Tahunan Perikanan setiap tahun dan kemungkinan maklumat tersebut boleh diperolehi daripada Buku tersebut. Buku tersebut ada dijual di Unit Penerbitan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Presint 4, Putrajaya dengan harga RM 10 sahaja. Buku tersebut juga boleh dimuat turun daripada ruangan perangkaan di Laman Web Jabatan Perikanan.
Jabatan Perikanan Malaysia telah membuat satu pindaan peraturan iaitu, ikan flowerhorn (Genus Cichlasoma) telah dimasukkan ke dalam senarai ikan hidup yang dilarang import. Larangan ini adalah selaras dengan Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb., bagi Ikan Hidup) 1990* Pindaan Tahun 2011, Akta Perikanan Malaysia 1985. Larangan ini telah berwartakan pada 10 Mac 2011.
Untuk makluman lanjut sila hubungi Bahagian Biosekuriti Perikanan di talian 03-8870 4000.
Sekiranya kerang yang hendak dieksport merupakan kerang hidup, ia hendaklah merupakan kerang dewasa dengan saiz tidak kurang dari 25mm. Syarat-syarat seperti mana di bawah perlu dipenuhi sebelum tindakan mengeksport kerang tersebut boleh diambil:
Sebelum kerang boleh dieksport ia perlu disertai dengan Sijil Kesihatan yang diperolehi dari Unit Biosekuriti Perikanan negeri di pintu keluar dan permohonan perlu dibuat 3 hari sebelum tarikh kerang dieksport. Sijil kesihatan akan dikeluarkan berdasarkan keperluan analisa negara pengimport.
Bagi tujuan permohonan untuk mendaftarkan ladang di bawah CITES, satu kertas cadangan mengenai ladang anda perlu disediakan dan dimajukan ke Jabatan Perikanan Malaysia. Pihak Jabatan seterusnya akan membuat semakan ke atas kertas cadangan tersebut sebelum audit dijalankan berdasarkan senarai semak dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Sekretariat CITES Geneva. Kertas cadangan yang telah lengkap seterusnya akan dihantar ke Sekretariat CITES di Geneva untuk penilaian dan kelulusan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyediaan kertas cadangan dan sebagainya anda boleh berhubung dengan Pn. Norashikin bt Daliyana di talian 03-88704682 atau emel di alamat emel berikut norashikin@dof.gov.my.
Anda perlu mendapatkan sijil CITES dari negara asal batu karang dan ikan laut berkenaan diimport dan anda juga perlu membuat permohonan bagi mendapatkan permit CITES yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Permit CITES dari negara pengeksport perlu dikemukakan kepada pihak Jabatan bagi tujuan permohonan Permit Import CITES. Borang permohonan Permit Import CITES boleh diperolehi di laman web Jabatan Perikanan Malaysia. Sila rujuk pautan Perkhidmatan Permit Import/Eksport Spesies Akuatik Terancam Kepupusan CITES – Akta 686 untuk butiran lanjut permohonan dan borang-borang yang diperlukan.
Rujuk maklumat lanjut Garis Panduan Pelaksanaan Tatakelola Pengurusan Dan Perolehan Projek ICT bagi RMKe-13 pada pautan di bawah.
Akuaponik merupakan singkatan kepada perkataan Akuakultur Hidroponik iaitu sistem integrasi antara aktiviti akuakultur dan tanaman sayuran secara hidroponik di dalam sebuah bekas ternakan (tangki/kolam). Dalam bahasa yang mudah bermakna menternak ikan di dalam tangki bersama-sama sayuran di mana hasil yang bakal diperolehi adalah ikan dan sayur-sayuran. Ikan yang diternak bukanlah dari jenis ikan yang memakan tumbuhan tetapi sebaliknya ikan yang diternak merupakan ikan-ikan kecil yang tidak memakan tumbuhan iaitu ikan hiasan seperti ikan guppy, platy, molly dan sebagainya.Ikan makan yang sesuai diternak dengan cara ini adalah ikan sepat, puyu, haruan dan keli. Jenis sayuran yang sesuai adalah kangkong, sayuran dedaun hijau yang diapung di dalam tangki menggunakan gabus atau polisterina. Tumbuhan yang terdapat di dalam sistem ini akan menyerap nutrien di dalam air yang terhasil dari najis ikan dan sisa makanan. (Tumbuhan sebagai biological filter)Dengan adanya penyerapan nutrien oleh tumbuhan maka air akan menjadi jernih, kualiti air bertambah baik dan ekosistem dalam tangki tersebut akan lebih seimbang dan ikan dapat hidup dengan sihat dan membesar. Tumbuhan yang ditempatkan di dalam tangki ternakan mestilah tidak melebihi 1/3 dari luas permukaan tangki agar cahaya matahari dapat masuk sehingga ke dasar tangki dan akan menggalakkan pertumbuhan plankton sebagai makanan semulajadi kepada ikan yang diternak.Sekiranya ada pertanyaan, anda boleh menghubungi Cawangan Akuakultur Marin, Ibu Pejabat Perikanan Putrajaya Tel : 03-88704784.
Ikan keli boleh diternak dalam takungan seperti kolam, tangki gentian kaca (fibre glass), tangki simen dan tangki kanvas. Ternakan menggunakan sistem kanvas merupakan satu inovasi baru untuk bidang akuakultur dan telah dimulakan sejak 2006. Ternakan dijalankan dalam set ternakan dengan bingkai berukuran 4.5 m x 1.2 m x 1 m dan diliputi dengan kanvas yang berkualiti tinggi dan tahan kepada perubahan cuaca. Kedalaman air dalam takungan kanvas adalah 0.4 m. Benih ikan keli bersaiz 3 inci atau 10 gm ke atas dilepaskan dengan kadar pelepasan 129 ekor/m2. Ikan-ikan ini diberi makan dengan makanan rumusan bagi menjamin kualiti ikan yang diternak dan menjaga tempoh guna sistem tersebut.
Tempoh ternakan ikan keli ini adalah selama 3 bulan untuk mencapai saiz pasaran (6 ekor/kg). Harga seunit tangki dianggarkan RM 1,200.00 – RM 2,400.00. Set ternakan boleh diperolehi melalui pembekal-pembekal yang disyorkan oleh Jabatan Perikanan. Senarai hatceri yang mengeluarkan benih ikan keli boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan Daerah di setiap negeri. Jabatan juga telah menghasilkan risalah untuk rujukan penternak. Pamplet berkenaan boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan Negeri atau daripada Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi, Ibu Pejabat Perikanan, Putrajaya.
Bagi memulakan projek ternakan Udang Galah, penternak perlu memastikan tapak tanah yang dipilih sesuai dengan jenis ternakan yang hendak dibuat. Tapak mestilah berdekatan dengan sungai air tawar dan bebas daripada pencemaran. Udang Galah lebih sesuai diternak dalam kolam tanah dan penternak perlu memastikan bekalan air juga mencukupi untuk sepanjang tempoh ternakan. Bentuk kolam yang disyorkan adalah kolam empat segi tepat bersaiz 0.2 ha dengan kedalaman 1.2 m. Adalah dianggarkan kos pembinaan kolam tanah bersaiz 0.1 ha lengkap dengan inlet dan outlet adalah lebih kurang RM 2,000 – RM 2,500. Kadar tebaran yang disyorkan adalah di antara 10-20 ekor/m2 dan penggunaan alat pengudaraan seperti paddle wheel adalah perlu. Ternakan Udang Galah secara komersial adalah bergantung kepada makanan rumusan yang mengandungi kandungan protein di antara 28-35%. Jangkamasa ternakan ialah di antara 5-6 bulan (saiz hasil 25 gm – 30 gm seekor).
Anda boleh menghubungi Bahagian Akuakultur ibu pejabat yang berkaitan kursus Ternakan Udang Galah atau mana-mana Pejabat Perikanan Negeri dan Daerah di tempat anda bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengusaha hatceri dan pembekal peralatan. Nombor telefon dan alamat boleh diperolehi daripada Direktori Jabatan di laman web.
Ternakan ikan air tawar seperti ikan Tilapia Merah, Keli dan Puyu boleh dijalankan dalam tangki simen atau konkrit yang bersaiz 500 m2 (50 m x10 m). Dianggarkan kos pembinaan tangki simen adalah di antara RM 8,000 – RM 10,000 seunit lengkap dengan inlet dan outlet. Adalah disyorkan stocking atau tebaran benih ikan bagi sistem tangki simen ialah 15 ekor/m2. Cara pemberian makanan dan pengurusan air adalah sama seperti sistem-sistem lain dan keutamaan diberikan kepada makanan rumusan. Bagi ternakan dalam tangki simen, adalah dicadangkan digunakan alat pengudaraan tambahan, seperti paddle wheel atau blower bagi meningkatkan kadar hidup (survival rate) ikan.
Jabatan Perikanan Malaysia juga ada menawarkan kursus berjadual dan latihan sangkut bagi sektor akuakultur tetapi terhad kepada sistem kolam tanah, tangki simen dan sangkar sahaja. Untuk memohon mengikuti kursus, boleh dilakukan secara dalam talian atau berurusan dengan Pejabat Perikanan Daerah. Penternak boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tangki berkenaan daripada Pejabat Perikanan Negeri yang berhampiran. Alamat bagi PPN boleh diperolehi daripada laman web Jabatan Perikanan Malaysia di bahagian Direktori Jabatan.
Untuk memohon bantuan sila hubungi Pejabat Perikanan Daerah berhampiran dengan kawasan projek atau Pejabat Perikanan Negeri atau Ibu pejabat Perikanan sendiri. Alamat dan no telefon boleh diperolehi daripada laman web Jabatan di https://www.dof.gov.my/hubungi/lokasi/.
Pihak Jabatan sedang giat mempromosikan ternakan ikan air tawar terutamanya ikan Tilapia dan Keli. Walau bagaimanapun, buat masa ini pihak Jabatan tidak mempunyai sebarang penerbitan mahu pun kursus yang berkaitan ternakan spesis belut. Pihak kami mencadangkan anda merujuk ke Pejabat Perikanan Daerah @ Negeri yang terdekat bagi mendapatkan maklumat berkaitan. Anda juga digalakkan untuk menghubungi pejabat-pejabat berkenaan dengan merujuk laman web Jabatan Perikanan Malaysia untuk maklumat terkini sebagai panduan.
Bagi anda yang baru hendak menceburi bidang pembenihan ikan marin, anda perlu menghadiri Kursus Pembenihan Ikan Marin dan Kursus Ternakan Ikan Marin yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan di Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Ikan Laut Tanjung Demong, Besut, Terengganu. Sila layari e-latihan dalam laman web Jabatan Perikanan.
Sebelum menceburi dalam industri/perniagaan dalam bidang ikan hiasan, anda perlulah ada maklumat dan pengetahuan dalam biologi ikan hiasan. Jabatan ada menyediakan kursus yang bersesuaian kepada bakal pengusaha dan maklumat boleh diperolehi di Laman web Jabatan Perikanan Malaysia. Kursus diadakan di Pusat Ikan Hiasan Enggor, Kuala Kangsar, Perak. Jabatan hanya memberi khidmat nasihat manakala pinjaman boleh dipohon di Agro Bank yang berdekatan atau mana-mana bank yang lain.
Sekiranya anda hendak mengeksport ikan hidup dari/ke luar negara, anda perlu mempunyai lesen daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum boleh memohon permit import/eksport ikan hidup daripada Jabatan Perikanan melalui sistem e-permit. Permit CITES pula diperlukan sekiranya spesis tersebut tersenarai di dalam senarai CITES (Convensyen on International Trade of Endangered Species).
Sistem ternakan tertutup dalam kotak gentian kaca (fiber glass) masih belum terbukti keberkesanannya/daya maju. Anda dicadangkan untuk menternak ketam nipah dalam sistem:
Harga purata ketam adalah RM 22/kg manakala kos pengeluaran pula dianggarkan RM 15 – 16/kg. Hasil pengeluaran minima adalah 1000 kg/bulan, di mana pendapatan pengusaha adalah dalam lingkungan RM 3,000/bulan. Untuk pendapatan RM 30,000/bulan, pengeluaran mestilah melebihi 10 tan/bulan. Kos ternakan bergantung kepada jenis sistem ternakan yang dibuat.
Ikan laut atau ikan marin boleh diternak di dalam tangki seperti di dalam tangki simen, tangki gentian kaca (fiber glass) dan tangki PE dengan sistem RAS (Recirculating Aquaculture System). Dalam sistem RAS ini, ikan marin diternak secara intensif di mana air dialirkan sepanjang masa ternakan, di mana air dari tangki ternakan dialirkan ke dalam sistem penapis yang terdiri dari penapis fizikal seperti sand filter, penapis kimia seperti protein scema dan penapis biologi dan akhirnya air ini akan melalui ozon atau lampu sinar ultra ungu sebelum dialirkan semula ke dalam tangki ternakan. Ini bermakna air yang dialirkan semula ke dalam tangki ternakan adalah bersih dan selamat untuk ikan hidup. Ikan yang diternak akan diberi makanan rumusan dan ikan baja.
Untuk memahami sistem ternakan ikan marin dalam tangki, anda boleh mengikuti Kursus Ternakan Ikan Marin Dalam Tangki di Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Ikan Laut Tanjung Demong, Besut, Terengganu. Sila hubungi talian 09-6958 626 untuk mendapat maklumat berkaitan kursus dan sistem ternakan tersebut.
Jabatan Perikanan ada menjalankan program bantuan di bawah Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur (SPeKs). Sekiranya anda memenuhi syarat program tersebut, anda layak menerima bantuan benih, makanan serta peralatan sokongan untuk ternakan anda. Namun sebelum itu, anda adalah digalakkan untuk berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia terlebih dahulu.
Anda boleh memanjangkan permohonan bantuan tersebut ke Pejabat Perikanan terdekat kerana ia perlu melalui peringkat daerah terlebih dahulu, kemudian negeri sebelum dipanjangkan ke peringkat ibupejabat. Anda boleh menghubungi pejabat-pejabat Perikanan tersebut dengan merujuk kepada senarai lokasi pejabat di Laman Web Jabatan Perikanan Malaysia: https://www.dof.gov.my/hubungi/lokasi/.
Jabatan Perikanan juga menyediakan bantuan khidmat nasihat serta kursus kepada orang awam yang berminat. Jadual serta permohonan kursus boleh didapati di sistem e-latihan di laman web rasmi Jabatan seperti di atas.
Pada masa ini, Jabatan masih di dalam perancangan untuk membina pusat pengumpulan mengikut zon. Hal ini kerana, pemasaran hasil pertanian adalah dibawah FAMA. Anda dinasihatkan untuk mencari pasaran sendiri seperti restoran dan hotel di mana harga yang ditawarkan adalah lebih tinggi berbanding dijual kepada peraih.
Anda boleh menghubungi cawangan FAMA di negeri anda bagi mendapatkan pusat pengumpulan hasil pertanian terdekat untuk pasaran ikan air tawar. Anda juga boleh mendapatkan maklumat pemborong atau agen pengumpul hasil perikanan daripada Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri di tempat projek anda.
Bagi memulakan projek akuakultur, anda perlu memastikan perkara-perkara berikut terlebih dahulu:
Kemudian, barulah anda boleh meneruskan projek dengan lebih lancar dari segi pengurusan. Jabatan ada menerbitkan pelbagai buku ternakan ikan air tawar. Ianya boleh diperolehi daripada Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi, Jabatan Perikanan Malaysia, Putrajaya.
Anda hanya perlu mendaftar di Pejabat Perikanan Negeri (tiada bayaran dikenakan) bagi mendapatkan segala maklumat lanjut. No. telefon dan alamat pejabat boleh didapati di lokasi pejabat di Laman web Jabatan Perikanan Malaysia.
Kelah (Tor spp.) adalah sejenis ikan air tawar dalam famili Cyprinidae yang mendiami kawasan hulu sungai di tanah tinggi yang mempunyai kualiti air bersih tanpa pencemaran. Ikan ini masih belum diternak secara komersial kerana kaedah ternakan yang sesuai belum ditemui. Setiap projek ternakan haruslah berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia. Walau bagaimanapun, anda boleh mendapatkan keterangan lanjut dari Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri yang berhampiran.
Udang Kara Air Tawar (Red Claw) atau Blue Crayfish (Cherax quadricarinatus) merupakan spesies yang berasal dari Australia. Ia mempunyai warna yang menarik iaitu kebiru-biruan dan berbintik putih. Spesis ini paling sesuai hidup di air tawar dalam keadaan pH 7. Saiz matang udang ini adalah dalam lingkungan 8 inci hingga 14 inci. Ia telah diperkenalkan di seluruh dunia sebagai spesis peliharaan dan juga untuk industri akuakultur. Walau bagaimanapun, beberapa kajian telah menyatakan bahawa udang ini telah memberi impak yang tidak menyenangkan. Beberapa kajian di Australia telah menjumpai perkaitan kultur udang “Red Claw” ini dengan penyakit berjangkit. Contohnya, penyakit parasit seperti Rikettsia dikaitkan dengan penyakit berjangkit kepada manusia (Romero & Jimenez, 2002) dan parasit ini telah dijumpai di dalam beberapa udang kara “Red Claw” yang diternak di Australia. Di beberapa buah ladang ternak udang kara yang lain, jangkitan virus menyerupai Parvoviridae telah menyebabkan kematian yang tinggi dan ini menambahkan lagi kebimbangan mengenai penyakit yang dibawa oleh Udang Kara “Red Claw” ini (Bowater et al, 2002).
Jabatan pada dasarnya memandang serius kemasukan spesies tersebut dan langkah berjaga-jaga perlu dilakukan bagi memastikan spesies tersebut tidak invesif dan menjadi pemangsa kepada spesis-spesis tempatan sekiranya ia terlepas ke perairan luar. Perkara ini adalah perlu dilaksanakan bagi memastikan spesis udang kara air tawar yang akan diternak tersebut selamat dan tidak merbahaya, tidak mendominasi sesuatu perairan dan mengancam spesis tempatan yang lain. Oleh itu, pengusaha yang ingin membawa masuk dan menjalankan ternakan ini perlu mendapatkan kelulusan rasmi dan syarat berikut perlu dipatuhi:
Jabatan Perikanan telah mensasarkan ikan Tilapia Merah dan Keli di samping Udang Galah untuk diternak seluruh Malaysia. Di samping mudah untuk diternak, spesis ini juga agak stabil di pasaran. Walau bagaimanapun, anda boleh memilih untuk menternak ikan lain seperti Patin, Jelawat, Kelah, Baung atau lain-lain ikan asli yang bernilai tinggi.
Anda boleh menghubungi Pejabat Perikanan Negeri di tempat anda. Nombor telefon dan alamat boleh diperolehi daripada laman web Jabatan Perikanan Malaysia.
Ikan Haruan adalah spesis ikan kanibalistik dan teritorial. Ini menunjukkan ia tidak sesuai diternak dalam takungan yang kecil. Sistem yang sesuai adalah kolam tanah. Taburan ikan dalam kolam ialah 5 ekor ikan setiap meter persegi.
Anda boleh menghubungi Pejabat Perikanan Negeri di tempat anda atau Pusat Pengembangan Akuakultur berhampiran. Nombor telefon dan alamat boleh diperolehi daripada laman web Jabatan Perikanan Malaysia.
Sekiranya anda ingin mendapatkan benih Ikan Gourami, anda bolehlah berhubung dengan direktori pembekal air tawar atau berhubung dengan Pejabat Perikanan Negeri yang berdekatan. Untuk makluman anda, ikan ini sangat mudah dipelihara kerana tahan lasak dan memakan semua jenis makanan yang diberikan.
Cara ternakan Ketam Nipah adalah:
Kawasan penternakan mestilah merupakan kawasan tanah liat dan boleh menampung air, berdekatan punca air laut salaniti/kemasinan 15 – 30 ppt. Kadar pH air mestilah 6, 7 dan 8. Makanan ternakan terdiri daripada ikan baja segar, ikan baja dikisar, isi ikan dikukus, isi kerang dan isi kupang. Penyakit akan kurang diperolehi jika kualiti air ternakan dijaga. Pasaran harga ketam padat (saiz > 250 gm/ekor) betina adalah RM 25 – 28/kg, manakala jantan pula RM 20 – 25/Kg. Ketam lembut bersaiz di antara 120 – 180 gm/ekor berharga antara RM 25 – 30/Kg.
Jabatan Perikanan ada menjalankan pemantauan tahunan ke atas kandungan histamin bagi ikan tangkapan dari jenis pelagik melalui Program Sanitary and Phytosanitary Marin (SPS Marin) dan Hygiene On Board (HOB). Kedua-dua program ini dijalankan secara tahunan bagi memenuhi keperluan eksport ke Kesatuan Eropah.
Pada umumnya, kandungan histamin dalam ikan marin yang didaratkan adalah sebanyak 30 ppm yang ditemui dari sampel ikan bilis di Langkawi dan budu. Penentuan kehadiran histamin dalam produk akuakultur di Malaysia tidak dijalankan kerana faktor kewujudan histamin hanya melibatkan ikan-ikan dari jenis pelagik sahaja.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh berhubung terus dengan Cawangan Kesihatan Ikan dan Awam, Bahagian Biosekuriti Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia berhubung perkara ini. Kajian terperinci mengenai kandungan histamin dalam ikan telah dijalankan oleh pihak MFFRD, Singapura. Laporan bertulis mengenai penemuan kajian berkenaan boleh diperolehi dari pihak berkenaan.
Ikan Arowana yang hendak dibawa dari Semenanjung Malaysia ke Sabah/Sarawak perlu disertakan bersama dengan dokumen berikut:
Maklumat berkenaan sijil dan syarat yang diperlukan di peringkat hatcheri bagi memenuhi keperluan EU telah disediakan di laman web rasmi Jabatan Perikanan Malaysia. Anda boleh melayari laman web jabatan dan mendapatkan maklumat melalui dokumen muat turun Kit Penerangan – Syarat dan Prosedur Keperluan Kepada Ladang Yang Diluluskan Untuk Eksport Ikan dan Hasilan Ikan Ke Kesatuan Eropah (EU) 2009.
Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Unit Biosekuriti Perikanan Negeri atau Bahagian Biosekuriti Perikanan, Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia.
Terdapat beberapa sistem ternakan yang digunakan untuk menternak ikan seperti; kolam, sangkar, tangki dan kepungan. Di antara sistem yang dinyatakan, sangkar adalah sistem yang lazim digunakan kerana terdapatnya badan air yang banyak sama ada sungai, tasik ataupun perairan laut. Sistem ini digunakan untuk kedua-dua spesis ikan marin dan air tawar.
Sementara itu, kepungan (pen culture) jarang digunakan bagi skala ternakan yang besar/komersial. Ia hanya digunakan oleh pengusaha kecil sama ada di kawasan tasik atau di perairan laut yang cetek. Ini kerana struktur kepungan daripada net dipasang hingga ke dasar dan berbeza dengan sistem sangkar yang terapung. Bagi sangkar ikan pula, selain dari sangkar empat segi telah ada sangkar berbentuk bulat yang mempunyai diameter besar, contohnya 18 – 20 meter. Sistem ini digunakan oleh pengusaha berskala komersial kerana memerlukan kos perolehan alat dan pengendalian ternakan yang mahal.
Tanah yang sesuai untuk ternakan Arowana adalah dari jenis tanah liat berpasir (kandungan tanah liat 55% – 60%) dan bekalan air sepanjang tahun dari sumber semulajadi seperti air bukit, sungai, empangan dan tasik.
Kualiti air adalah seperti berikut:
pH tanah mempengaruhi kualiti air. Oleh itu pengapuran perlu dibuat bagi tanah yang berasid dan kuantiti kapur yang diperlukan adalah bergantung kepada keasidan tanah. Pembajaan tanah boleh dilakukan dengan menggunakan baja organan atau bukan organan dengan kepekatan Nitrogen 0.95 ppm dan Fosforus 0.15 ppm.
Untuk tujuan eksport produk seperti ikan bilis, anda perlu mendapatkan Lesen Pengeksport dan Pengimport dari pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Sehubungan itu, anda perlu menghubungi pihak LKIM bagi tujuan permohonan lesen berkenaan.
Permohonan hendaklah menggunakan Borang Pendaftaran Vesel Penangkapan Ikan (FVA-01) yang boleh didapati dari Unit Biosekuriti Perikanan Negeri (UBPN) yang berkaitan.
Permohonan bagi membawa masuk ikan hidup ke Malaysia bagi tujuan pertandingan/pameran/pertunjukan/penyelidikan adalah menggunakan Borang Permohonan Kelulusan Khas Kuarantin ikan Hidup Yang Dibawa Masuk Ke Malaysia Bagi Tujuan Pertandingan/Pameran/Pertunjukan/Penyelidikan (BPPP-01) yang boleh didapati di Unit Biosekuriti Perikanan Negeri (UBPN) yang berkaitan.
Aduan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Perikanan Daerah yang berhampiran dengan lokasi kejadian dan mengisi Borang FDN-01.
Bagi aktiviti perdagangan dan komersil, anda hendaklah mematuhi syarat berikut:
Anda hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut iaitu:
Isu-isu keselamatan makanan (food safety) bagi ikan dan hasilan ikan berada di bawah bidang kuasa beberapa pihak berkuasa. Aduan boleh disalurkan seperti berikut:
Sekiranya terdapat kes-kes kematian ikan, anda boleh berhubung dengan mana-mana Unit Biosekuriti Negeri, Pejabat Perikanan Negeri atau Bahagian Biosekuriti Perikanan, Ibu Pejabat Perikanan Putrajaya bagi tujuan siasatan kematian ikan. Sebarang tindakan lanjut adalah tertakluk kepada hasil siasatan punca kematian ikan dan juga berdasarkan Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan.
Tidak dibenarkan, melainkan anda berdaftar dengan Program Kawalan Rasmi yang ditetapkan. Unit Biosekuriti Perikanan setiap negeri akan menjalankan pensampelan bagi Program Kawalan Rasmi seperti ARMP, HOB, SPS Marin, SPS Akua, pemantauan makanan ikan/tepung ikan dan surveilan penyakit ikan. Sampel-sampel tersebut akan dihantar ke makmal mengikut zon yang telah ditetapkan.
Terdapat 6 Makmal Biosekuriti Perikanan yang menawarkan perkhidmatan analisa untuk pemantauan kesihatan ikan dan kesihatan awam di Malaysia. Sila rujuk Senarai Makmal Biosekuriti Perikanan untuk butiran lanjut.
Tiada.
14 hari.
Pemilik ladang berikut layak untuk dipertimbangkan bagi memohon Pensijilan myGAP:
Pemohon yang berminat dan memenuhi kriteria hendaklah mengemukakan permohonan kepada Unit Biosekuriti Perikanan Negeri (UBPN) mengikut lokasi ladang atau premis. Pertanyaan lanjut berkaitan proses pendaftaran, pengauditan, kelulusan dan penganugerahan sijil myGAP juga boleh diajukan kepada UBPN berkaitan. Secara ringkas, langkah-langkah mendapatkan pensijilan myGAP adalah seperti berikut:
Permohonan hendaklah dikemukakan tiga (3) hari bekerja sebelum tarikh pengeksportan sebenar kepada Unit Biosekuriti Perikanan Negeri (UBPN) mengikut lokasi premis pengeksport.
Bagi permohonan Sijil Kesihatan Serbuk Ikan (Fishmeal) dan Makanan Ikan, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Biosekuriti Perikanan Ibu Pejabat, Putrajaya. Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan adalah seperti berikut:
Anda perlulah mengikuti tatacara berikut:
Syarat-syarat mengeksport ikan dan hasilan ikan di bawah Chapter 3 Kod HS adalah pemohon (pengilang dan pengeksport) hendaklah berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia dengan mengisi borang pendaftaran mengikut aktiviti dan disertakan dengan dokumen- dokumen berikut:
Manakala, syarat Permohonan Pengesahan Sijil Tempasal mengikut jenis komoditi adalah:
Permohonan hendaklah dikemukakan tiga (3) hari bekerja sebelum tarikh pengeksportan sebenar kepada UBPN mengikut lokasi pintu keluar menggunakan Borang Permohonan BPKT-01. Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan adalah mengikut kategori jenis komiditi yang hendak di eksport seperti di bawah:
Catatan:
Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar (CITES) adalah perjanjian yang mengawal perdagangan antarabangsa tumbuhan dan haiwan yang terancam. Kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian konvensyen ini dan ia adalah sukarela; lebih daripada 170 buah negara telah menandatangani dan meratifikasi CITES setakat ini.
Perjanjian ini mengandungi tiga Lampiran di mana spesies Terancam CITES diletakkan seperti berikut:
Sebagai tambahan kepada spesis penyenaraian di Lampiran CITES, Pihak-pihak juga bersetuju untuk mengambil tindakan lain bagi melindungi spesies dalam perdagangan komersil antarabangsa. Sebagai contoh, Semua ahli Konvensyen CITES bersetuju untuk mematuhi piawaian yang berperikemanusiaan untuk pengangkutan udara haiwan hidup yang disenaraikan di dalam Appendiks CITES.
Sekretariat CITES, yang berpusat di Geneva, bertanggungjawab untuk mentadbirkan perjanjian ini. Sekretariat itu sendiri ditadbir oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
Malaysia selaku salah sebuah negara ahli Konvensyen CITES berperanan mengawal perdagangan dalam spesies yang disenaraikan di dalam lampiran CITES dengan mengeluarkan permit eksport dan import CITES.
Sekretariat CITES tidak menguatkuasakan perjanjian itu. Sebaliknya, semua ahli Konvensyen CITES telah menerima pakai CITES yang melaksanakan undang-undang-undang-undang negara yang membolehkan pelaksanaan dan penguatkuasaan perjanjian itu. Di Malaysia, CITES dilaksanakan dan dikuatkuasakan melalui Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).
Di setiap Conference of Parties (CoP), ahli Konvensyen CITES mengemukakan cadangan untuk menyenaraikan spesies di Lampiran, memindahkan spesies dari Lampiran, atau memindahkan spesies dari satu Lampiran kepada yang lain. Cadangan spesies dibincangkan dan diluluskan atau ditolak secara konsensus atau mengundi. Setiap ahli Konvensyen CITES mendapat satu undi. Ia mengambil dua pertiga dari para ahli Konvensyen CITES yang hadir dan mengundi untuk meluluskan proposal spesies.
Mengimport, mengeksport dan mengeksport semula Ikan dan Hidupan Marin yang disenaraikan dalam Lampiran CITES (atau mana-mana bahagian atau terbitan haiwan atau tumbuhan) memerlukan permit atau sijil. Semakan boleh dibuat seperti berikut:
Permohonan pendaftaran ladang Ikan Kelisa di bawah Sekretariat CITES, Geneva hendaklah dihantar ke Jabatan Perikanan Malaysia bersama Kertas Kerja Permohonan Pendaftaran Ladang Pembiakbakaan Dalam Kurungan yang menggunakan format yang disediakan oleh Pihak Sekretariat CITES iaitu Panduan Penyediaan Proposal (Annex 3).
Selain itu, Ladang tersebut perlu berdaftar sebagai Ladang Pembiakbakaan Spesis Terjadual di bawah Akta 686 dan berdaftar dengan Bahagian Biosekuriti Perikanan sebagai ladang/pengeksport untuk membolehkan ladang tersebut memohon Permit Ikan Hidup dan Sijil Kesihatan apabila menjalankan aktiviti pengeksportan kelak. Sila rujuk pautan berikut untuk butiran lanjut dan dokumen-dokumen yang diperlukan:
Permit CITES hanya dikeluarkan oleh Ibu pejabat Jabatan Perikanan Malaysia di Putrajaya. Berikut merupakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk memohon permit CITES:
Semua maklumat tersebut dihantar melalui email ke alamat berikut: citeshq@dof.gov.my. Setelah semua borang lengkap, pemohon akan menerima notis pemberitahuan bahawa permohonan yang diterima telah lengkap, begitu juga jika sebaliknya. Sekiranya semua maklumat lengkap, permit akan siap diproses dalam masa Tiga (3) hari bekerja. Fi Sebanyak RM 50.00 dikenakan bagi setiap satu permit yang dikeluarkan oleh Jabatan ini.
Jabatan Perikanan Malaysia mengemaskini maklumat kursus/latihan yang ditawarkan melalui Sistem Permohonan Latihan Jabatan secara atas talian (sistem eLatihan). Sistem berkenaan boleh dicapai melalui alamat url: http://eservices.dof.gov.my.
Pautan sistem ini juga boleh didapati di bahagian Perkhidmatan Atas Talian pada paparan muka depan laman web Jabatan Perikanan Malaysia. Anda boleh mendaftar kedalam sistem eLatihan dan permohonan mengikut kursus boleh dibuat secara terus melalui sistem berkenaan.
Tiada bantuan kewangan disediakan oleh Jabatan Perikanan. Walau bagaimanapun, Jabatan ada menyediakan khidmat nasihat teknikal tentang cara-cara untuk memulakan sesuatu projek perikanan.
Tiada yuran dikenakan.
Permohonan kursus untuk Kursus-kursus anjuran Jabatan Perikanan terbuka kepada pemohon berumur di antara 18-60 tahun. Pemohon hendaklah mempunyai kesihatan yang baik, boleh membaca dan menulis serta seorang warganegara Malaysia.
Pemohon perlu mengisi Borang LPI 1/95 yang disediakan dan menyediakan kertas kerja cadangan projek termasuk mengemukakan dokumen sokongan yang berkaitan. Borang LPI 1/95 dan juga panduan melengkapkan borang dan penyediaan kertas kerja cadangan projek boleh didapati dengan melayari laman web Jabatan.
Permohonan hendaklah dihantar terus ke Ibu Pejabat, Jabatan Perikanan Malaysia. Bagi yang tidak mempunyai kemudahan internet, borang permohonan ini juga boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan yang berhampiran dengan tempat tinggal anda.
Nelayan kecil merujuk kepada nelayan yang menggunakan peralatan tradisional seperti pukat hanyut, bubu dan lain-lain. Bagi nelayan kategori ini, mereka dibenarkan untuk beroperasi dari 1 batu nautika – 5 batu nautika dan ke atas. Jabatan tidak menghadkan kawasan operasi bagi nelayan yang menggunakan sampan dan vesel bermuatan kurang 40 GRT dengan peralatan tradisional kerana peralatan tradisional ini lebih mesra sumber. Walau bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan beroperasi di perairan negeri di mana vesel mereka dilesenkan.
Permohonan penukaran lesen boleh dikemukakan serentak bagi tukar zon, ganti kulit, ganti enjin dan tukar peralatan (jika berkenaan) serta pindah milik daripada pemilik asal kepada syarikat. Namun, setiap permohonan yang telah diluluskan tidak boleh dibuat sebarang pindaan atau pertukaran. Sila berhubung dengan Pejabat Perikanan Daerah yang berkaitan bagi keterangan lanjut.
Pindah milik lesen sampan hanya dibenarkan kepada isteri atau anak yang:
Namun begitu bagi kes kematian, kelonggaran diberikan kepada pewaris yang bukan nelayan tulen untuk pindah milik kepada nelayan tulen lain. Ini hendaklah dilakukan dalam tempoh tidak melebihi 1 tahun setelah arahan daripada Amanah Raya/mahkamah/harta pusaka kecil diperolehi (jika melibatkan pewarisan/wasiat).
Maklumat lanjut berkaitan pindahmilik boleh diperolehi daripada Pejabat Perikanan Daerah.
Pertukaran pemilik lesen vesel sampan, Vesel zon A dan B hanya boleh dilakukan kepada nelayan tulen. Walaupun Amanah Raya telah mengeluarkan surat bagi pemilikan tersebut, vesel hendaklah dipindahmilik kepada nelayan tulen dalam tempoh setahun sama ada dijual atau diberi sebagai hadiah kepada nelayan tulen.
Nelayan tulen adalah nelayan yang mempunyai kad pendaftaran nelayan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia kepada nelayan yang terlibat secara langsung dalam industri untuk tempoh 120 hari setahun dan tiada pekerjaan lain.
Lesen bot yang telah tamat tempoh boleh diperbaharui di Pejabat Perikanan Daerah yang berhampiran di mana bot tersebut dilesenkan dengan mengemukakan buku lesen dan kad nelayan. Bagi tujuan tukar nama pemilik, jika tiada wasiat dibuat, perakuan daripada Amanah Raya perlu diperolehi (mungkin mengambil masa).
Keterangan lanjut boleh diperolehi daripada pegawai di Pejabat Perikanan Daerah berhampiran.
Aktiviti penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan dan bot/vesel/sampan adalah tertakluk di bawah Akta Perikanan 1985 dan peralatan serta vesel hendaklah dilesenkan. Lesen sampan hanya dikeluarkan kepada nelayan tulen dan Jabatan Perikanan Malaysia juga tiada mengeluarkan lesen sampan buat masa ini. Akan tetapi, membawa pemancing bagi tujuan aktiviti rekreasi adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan anda boleh memohon permit daripada agensi tersebut. Namun, permit tersebut bukan sebagai lesen kebenaran untuk anda menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan menangkap ikan selain membawa pemancing.
Sila berhubung dengan Pejabat Perikanan Daerah atau Jabatan Laut berhampiran untuk keterangan lanjut bagi mengelakkan sampan dirampas atau didenda.
Jabatan Perikanan Malaysia tidak mengeluarkan lesen nelayan. Sebaliknya, Jabatan ini mengeluarkan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan serta mengeluarkan kad nelayan kepada nelayan tulen. Permohonan bagi lesen vesel dan kad nelayan diproses oleh Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan. Bahagian ini bertanggungjawab untuk menguruskan pengeluaran:
Walau bagaimanapun, buat masa ini unit baharu bagi lesen vesel dan peralatan menangkap ikan laut pantai (Zon A, B dan C) dibekukan kecuali lesen vesel dan peralatan menangkap ikan laut dalam (Zon C2) dan tuna (Zon C3) masih dibuka kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk memohon.