Penentuan jantina Arowana penting dalam mendapatkan hasil persenyawaan yang maksimum. Ini boleh dicapai dengan mempunyai nisbah induk jantan dan betina yang optimum di dalam kolam. Walaubagaimanapun, Arowana jantan dan betina sukar dibezakan dengan mata kasar. Penentuan jantina berdasarkan fenotip fizikal hanya sesuai untuk ikan yang matang (umur 3-4 tahun) dengan 50-60% ketepatan serta amat bergantung kepada pengalaman. Pengecaman jantina dengan kaedah biologi molekul lebih tepat (> 95%), namun memerlukan peralatan yang mahal serta berteknikal tinggi dan agak mengambil masa (2-3 hari).

Kit ujian pantas yang khusus dan mudah untuk pengesanan jantina dan varieti ikan Arowana (Scleropages formosus)

Malaysia Agricultural Invention Show (MAgIS) 2015 - Pingat Perak.
Induk udang biasanya akan diberi makan sotong, kerang atau cacing segar yang tidak diproses. Makanan ini sering dicemari dengan patogen sama ada bakteria, parasit ataupun virus. Atas sebab ini, makanan segar tidak sesuai dijadikan makanan induk udang kerana berisiko membawa penyakit dan mencemar air ternakan.

Ciptaan ini berkaitan dengan komposisi makanan induk udang yang berkhasiat untuk kesihatan dan prestasi pembenihan serta kaedah untuk menyedia, menyimpan dan menggunakan makanan ini. Formulasi ini dinamakan PrimEZeat.
The National Innovation & Invention Competition Exhibition, 2018 (iCompEx’18) - Pingat Emas.
Streptococcosis adalah penyakit ikan yang endemik di Malaysia dan selalunya menjangkiti ikan tilapia. Jangkitan yang serius boleh mengakibatkan sehingga 60% kematian atau lebih. Kaedah kawalan utama adalah pemberian vaksin. Majoriti vaksin yang ada di pasaran adalah dalam bentuk suntikan. Proses suntikan adalah rumit dan memerlukan tenaga buruh yang ramai dan memberi tekanan kepada ikan.

Vaksin daripada pencilan bakteria tempatan yang dicampur dalam makanan ikan untuk mencegah penyakit Streptococcosis dalam ikan. Vaksin ini dinamakan StrepToVax.
Malaysia Agricultural Invention Show (MAgIS) 2015 - (Pingat Emas).
Kenaikan harga tepung ikan yang merupakan sumber utama protein dalam formulasi makanan ikan memberi kesan langsung kepada kos operasi akuakultur. Dianggarkan 40-60% daripada kos pengeluaran ikan adalah daripada makanan ikan. Hampir semua bahan mentah utama dalam makanan ikan seperti tepung ikan, tepung kacang soya dan jagung diimport. Pada 2015, makanan haiwan menyumbang 30% (RM5.6 billion) daripada defisit import agro makanan negara. Penternak banyak menggunakan perut ayam segar yang tidak bersih dan boleh merosakkan alam sekitar.

Formulasi makanan ikan keli yang berasaskan sisa daripada industri pemprosesan ayam khususnya usus ayam (yang dijadikan tepung). Formulasi ini dinamakan EcoCIM Feed.
Secara umum kos pelet komersial di pasaran semakin meningkat. Penternak ikan skala kecil dan sederhana tidak sanggup menanggung beban harga makanan dan memilih untuk menghasilkan pelet buatan ladang yang timbul untuk memudahkan pengurusan makanan. Namun, kebanyakan penternak tiada latarbelakang bidang elektrik dan kejuruteraan mesin. Hanya mesin ekstruder sahaja yang sesuai untuk menghasilkan pelet timbul. Namun, mesin ekstruder pelet sedia ada di pasaran beroperasi dengan bekalan elektrik tiga fasa (three-phase), 415 volt. Manakala kawasan kolam dan sangkar terletak di pedalaman hanya mempunyai bekalan kuasa satu fasa, 240 volt sahaja dan akan memerlukan kos yang lebih tinggi untuk pendawaian tiga fasa. Penyelidikan oleh FRI, DOF melalui khidmat nasihat Agensi Nuklear Malaysia (ANM) telah dapat membangunkan prototaip ekstruder untuk menghasilkan pelet timbul namun teknologi inverter 1-fasa hanya berfungsi menggerakkan prototaip mesin namun tidak berkeupayaan menujah premiks melalui prototaip mesin melainkan masih bergantung kepada bekalan 3-fasa. Oleh yang demikian, penyelidikan FRI, DOF dengan menggunakan kapasitor dan panel kawalan elektrik teknologi baru mampu menghasilkan pelet timbul daripada premiks yang dimasukkan melalui mesin MSPEX menggunakan bekalan elektrik 1-fasa.
Pada masa ini, tiada diet khusus untuk induk ikan air tawar di pasaran. Pengusaha hatceri kesemuanya menggunakan makanan komersial untuk ternakan yang tidak menepati keperluan zat pemakanan induk yang optimum bagi tujuan perkembangan gonad dan benih yang berkualiti. Selain itu, bahan aditif di dalam diet komersial bagi tujuan menggalakan kematangan induk ikan seperti asid arakidonik (ARA) adalah mahal dan biasanya daripada sumber yang tidak bersih seperti hati khinzir.

Fomulasi makanan kematangan khusus untuk ikan kap menggunakan bahan alternatif yang lebih diterima dan lebih murah. Formulasi ini dinamakan NutriKarp Aquafeed
Memandangkan pelet komersial di pasaran semakin mahal, kebanyakan petani tempatan beralih menggunakan makanan ikan buatan ladang. Walaubagaimanapun, mereka menghadapi kesukaran untuk menghasilkan pelet keluaran ladang sendiri secara konvensional. Kebanyakan mereka tidak mempunyai kemahiran asas dalam merumuskan makanan ikan yang seimbang daripada segi nutrisi. Di samping itu, kos mendapatkan bahan makanan di pasaran runcit juga tinggi.

Pra-campuran segera makanan ikan yang boleh membantu penternak menyediakan pelet ikan buatan ladang sendiri. Formulasi ini diberi nama GrowEZmix.