Meraikan Kejayaan Akademik
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
Pada 11 Disember 2025, Jabatan Perikanan Malaysia telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Disember 2025 bertempat di Dewan Arowana. Majlis bermula pada jam 9.30 pagi hingga 11.00 pagi ini telah menghimpunkan warga jabatan daripada bahagian serta cawangan ibu pejabat sebagai penutup siri perhimpunan bagi tahun 2025.
Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia turut dihadiri Pengarah Kanan IPP, Dr. Azhar bin Hamzah. Sesi ini turut merangkumi perkongsian maklumat semasa, pengumuman rasmi jabatan, serta penghargaan kepada warga kerja atas komitmen sepanjang tahun.
Jabatan Perikanan Malaysia telah memberi penghargaan kepada Ts. Daud Awang dan pasukan dari Institut Penyelidikan Perikanan Bintawa atas penganugerahan Junior Chamber International Malaysia (JCI Malaysia) Sustainable Development Awards 2025 untuk projek Coral Garden of Layang-Layang Island. Projek ini telah berjaya menghidupkan semula terumbu karang di perairan Pulau Layang-Layang, sekali gus memperkukuh ekosistem marin dan menyokong kelestarian alam sekitar. Kejayaan ini juga atas inisiatif Jabatan Perikanan Laut Sarawak dengan peruntukan pembangunan yang disalurkan dalam RMK11 dan RMK12.
Junior Chamber International Malaysia (JCI Malaysia), adalah organisasi bukan kerajaan yang memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan, khidmat komuniti dan inisiatif pembangunan mampan. JCI Malaysia komited memupuk generasi pemimpin yang bertanggungjawab dan peduli terhadap kelestarian alam sekitar dan berbangga meraikan usaha yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya melindungi kehidupan bawah laut.
Unit Integriti Jabatan Perikanan juga menganjurkan pertandingan poster digital dan video pendek bersempena dengan Bulan Integriti Nasional 2025. Warga IPP juga tidak ketinggalan turut serta menyertai pertandingan tersebut dan berjaya meraih kemenangan.
- Puan Najihah Mohamad (IPP Batu Maung)
- Juara Poster Integriti
- Puan Nur Amalina Mohd Rizikin (IPP Bintawa)
- Naib Juara Poster Integriti
- Puan Norlida Ahmad (IPP Bintawa)
- Tempat Ketiga Video Pendek Integriti
Kemenangan ini diraikan penuh meriah semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perikanan Malaysia dengan penyampaian sijil oleh Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain.
Semangat integriti terus menyerlah, membuktikan warga IPP bukan sahaja cemerlang dalam penyelidikan, tetapi juga unggul dalam kreativiti dan nilai murni.