IPP Rantau Abang Perkasa Pematuhan Keselamatan Melalui Lawatan Rasmi JKKP Terengganu
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
RANTAU ABANG, 28 Januari 2026 – Dalam usaha memperkasakan budaya kerja selamat dan mematuhi piawaian perundangan terkini, Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang telah mengambil langkah proaktif dengan menjemput Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH/JKKP) Negeri Terengganu bagi satu kunjungan rasmi dan pemeriksaan keselamatan menyeluruh di fasiliti institut tersebut.
Sesi lawatan kerja ini bertujuan utama untuk memastikan pematuhan penuh institut terhadap pendaftaran premis (kewujudan tempat kerja) di bawah Seksyen 27A Akta A1648 (Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022). Langkah ini mencerminkan komitmen jitu pengurusan IPP Rantau Abang dalam menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat buat warga kerjanya.
Ketibaan delegasi DOSH Terengganu yang diketuai oleh Ketua Seksyen Penguatkuasaan, Encik Fakrul bin Abdullah, telah disambut mesra oleh Pengarah IPP Rantau Abang, Ts. Dr. Daud bin Awang. Turut serta dalam delegasi tersebut adalah Pegawai Pemeriksa Kilang dan Jentera, Encik Mohd Azan bin Muhamad dan Encik Mohd Sufian bin Yusof.
Sepanjang lawatan ini, pihak DOSH telah dibawa meninjau fasiliti utama termasuk kawasan kolam dan makmal bagi meneliti aspek keselamatan fizikal dan prosedur operasi. Pemeriksaan ini bukan sahaja memenuhi kehendak akta, malah bertindak sebagai audit luaran bagi menambah baik sistem keselamatan sedia ada di institut penyelidikan tersebut.
Pengarah IPP Rantau Abang, Ts. Dr. Daud bin Awang menyifatkan kerjasama dengan pihak berwajib seperti DOSH adalah kritikal dalam memastikan kelangsungan operasi penyelidikan berjalan lancar tanpa risiko kemalangan. Ia selaras dengan aspirasi institut untuk menjadi pusat kecemerlangan yang bukan sahaja unggul dalam penyelidikan spesies marin, malah cemerlang dalam tadbir urus keselamatan pekerjaan.